SOALAN: Banyak berlaku di masjid-masjid, sebelum azan, muazzin akan membaca sesuatu seperti selawat dan bacaan seumpamanya. Adakah amalan ini berasal daripada sunnah atau hanya sekadar adat?
JAWAPAN:
Ia hanyalah adat. Dan menurut sebahagian ‘ulamak, ia adalah bid’ah. Maka, sebelum azan, muazzin tak perlu berselawat, membaca basmalah atau sebarang zikir. Sebaliknya, dia perlu terus azan. Inilah yang selari dengan sunnah.
Demikianlah juga halnya dengan perbuatan sebahagian manusia yang setelah mendengar muazzin melaungkan kalimat “Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah,” dia cepat-cepat membaca potonganayat ke-22 daripada Surah Qaf pada kukunya, lalu dia meniup kukunya itu dan menyapu kukunya pada kedua-dua belah matanya, kononnya untuk mencerahkan matanya.
Sesungguhnya, amalan ini tidak ada asalnya daripada petunjuk sunnah Nabi s.a.w. Maka, fadhilat yang disebutkan itu adalah palsu.
Wallahu a’lam.
TAMBAHAN PENULIS:
Yang sebenarnya, kita diperintahkan untuk berselawat selepas azan iaitu sebelum membaca Doa Wasilah, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَىَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللَّهِ وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ فَمَنْ سَأَلَ لِيَ الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya:
“Apabila kalian mendengar juru azan (mengumandangkan azan), kalian sebutlah seperti mana yang dia sebut.
Kemudian, berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah pasti akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali.
Kemudian, mohonlah kepada Allah untuk Wasilah kerana sesungguhnya Wasilah itu adalah satu kedudukan khusus di dalam syurga yang tidak diberikan melainkan kepada seorang sahaja hamba daripada sekalian hamba Allah, dan aku berharap mudah-mudahan akulah orang itu.
Dan barangsiapa yang memohon Wasilah untukku, maka telah halallah syafa’atku untuknya.”
Wallahu a’lam.