SOALAN: Adakah azan dua kali yang dilaungkan untuk Solat Jumaat itu bid’ah?
JAWAPAN:
Azan dua kali untuk Solat Jumaat itu sebenarnya berasal daripada ijtihad Khalifah ‘Utsman bin ‘Affan r.a. Beliau melakukannya kerana Madinah semakin besar rentetannya bertambahnya penduduk Madinah.
Maka, beliau menghantar muazzin untuk mengumandangkan azan pada kali pertama di kawasan pasar sebelum masuknya waktu Solat Jumaat supaya orang ramai dapat mempersiapkan diri untuk Solat Juma’at. Lalu, apabila telah masuknya waktu Solat Jumaat dan khatib telah berada di atas minbar, barulah azan untuk Solat Jumaat dikumandangkan.
Hal ini sebagaimana yang diceritakan oleh as-Saib bin Yazid, katanya:
كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ ـ رضى الله عنه ـ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ عَلَى الزَّوْرَاءِ
Maksudnya:
"Dahulu, azan untuk Solat Jumaat mula dikumandangkan apabila imam telah duduk di atas minbar. Inilah yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakr dan ‘Umar. r.a.huma. Lalu, apabila orang semakin ramai pada zaman ‘Utsman r.a. beliau menambah azan ketiga yang dikumandangkan di kawasan pasar."
Di dalam riwayat an-Nasa’i dan Abu Daud, terdapat tambahan lafaz:
فَثَبَتَ الأَمْرُ عَلَى ذَلِكَ
Maksudnya:
“Maka, perintah ‘Utsman itu pun kekal sehingga ke hari ini.”
Ijtihad Khalifah‘Utsman bin ‘Affan r.a. ini tidak sepatutnya dianggap sebagai bid’ah kerana Nabi s.a.w. sendiri memerintahkan kita supaya mengikut sunnah Khulafa’ Rasyidin sebagaimana sabdanya:
أُوصِيكُمْ بِتَقْوَى اللَّهِ وَالسَّمْعِ وَالطَّاعَةِوَإِنْ عَبْدًا حَبَشِيًّا فَإِنَّهُ مَنْ يَعِشْ مِنْكُمْ بَعْدِي فَسَيَرَى اخْتِلاَفًا كَثِيرًا فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الْمَهْدِيِّينَ الرَّاشِدِينَ تَمَسَّكُوا بِهَا وَعَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ وَإِيَّاكُمْ وَمُحْدَثَاتِ الأُمُورِ فَإِنَّ كُلَّ مُحْدَثَةٍ بِدْعَةٌ وَكُلَّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
Maksudnya:
“Aku berpesan kepada kalian supaya bertaqwa kepada Allah, serta dengar dan taat meskipun jika hamba Habsyi yang menjadi pemerintah. Demi sesungguhnya, barangsiapa yang hidup selepas (kewafatan)ku, dia akan melihat perbezaan pendapat yang banyak. Maka, hendaklah kalian mengikut sunnahku dan sunnah Khulafa’ Rasyidin yang mendapat petunjuk. Berpegang teguhlah dengannya dan gigitlah ia dengan gigi-gigi geraham kalian. Dan jauhilah rekaan-rekaan baharu (dalam agama) kerana sesungguhnya setiap rekaan itu bid’ah dan setiap bid’ah itu menyesatkan.”
Di dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. bukan sahaja memerintahkan kita supaya mengikut ijtihad Khulafa’ Rasyidin, malah baginda menamakan ijtihad mereka sebagai sunnah. Jadi, setelah Nabi s.a.w. sendiri mengiktirafnya sebagai sunnah, adalah tidak beradab untuk kita menganggap ijtihad Khulafa’ Rasyidin itu sebagai bid’ah.
Lalu, sunnah Khalifah ‘Utsman ini pun diamalkan secara meluas sehingga hari ini kerana mempunyai beberapa kebaikan, seperti memberikan kesempatan kepada Kaum Muslimin untuk mempersiapkan diri sebelum mendengar khutbah.
Jika azan Solat Jumaat dilakukan sekali sahaja iaitu setelah khatib berada di atas minbar dan bersedia untuk menyampaikan khutbah, besar kemungkinan ramai yang terlepas peluang untuk mendengar khutbah kerana disibukkan dengan pekerjaan masing-masing.
Namun begitu, jika ada mana-mana pihak atau kerajaan yang mahu kembali berpada dengan azan sekali sahaja untuk Solat Jumaat sebagaimana yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w., Abu Bakr dan ‘Umar r.a.huma., kita hendaklah menerimanya dengan berlapang dada kerana itulah sifat asal azan Solat Jumaat yang telah diajarkan oleh Nabi s.a.w. dan diamalkan oleh generasi terawal umat Islam.
Wallahu a’lam.